Satu video tular memaparkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali yang dilihat menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menegur anggota jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) dan DAP di Johor kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen.
Loke, yang juga setiausaha agung DAP, berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan kompaun kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar undang-undang tanpa mengira latar belakang politik.
“Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor yang tular,” katanya dalam satu kenyataan.
“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama terhadap semua rakyat Malaysia. Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini, walaupun melibatkan rakan seperjuangan dalam parti. Keselamatan orang ramai mengatasi segala kepentingan politik.”
Loke turut berkata beliau konsisten dengan pendirian itu sejak 2020 apabila mengkritik pemimpin Barisan Nasional (BN) yang berkempen dalam PRK Slim kerana menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.
Terdahulu, tular satu video memaparkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali yang dilihat menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar.


