Walaupun ahli politik bimbang ribuan bekerja di Singapura menjurus penghijrahan cendekiawan, pakar ekonomi menekankan Johor boleh menuai manfaat menerusi peningkatan perbelanjaan tempatan. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA: Johor sepatutnya memanfaatkan pelbagai kelebihan apabila rakyatnya bekerja di Singapura, berbanding menghalang mereka mencari pekerjaan di republik itu, kata pakar ekonomi.
Mereka menekankan mata wang Singapura yang kukuh serta kadar upah lebih tinggi mampu melonjakkan ekonomi Johor, selain budaya kerja yang lebih baik di republik berkenaan boleh menyerap masuk dalam diri rakyat Johor.
Mereka berkata, tahap pekerjaan rentas sempadan pada jarak tertentu juga disifatkan perkara sihat, sekali gus menyanggah pandangan bahawa ada keperluan mengekalkan warga Johor dalam negeri bagi mengekang isu penghijrahan cendekiawan.
Tan Peck Leong, profesor pembangunan ekonomi di Arshad Ayub Graduate Business School, mengambil maklum ramai rakyat Johor bekerja di Singapura kekal menetap di negeri itu.
Tan Peck Leong.
“(Ini menjadikan) wang yang diperoleh di republik itu sebahagian besarnya akan dibelanjakan di Johor. Mengambil kira kekuatan dolar Singapura, perkara ini juga akan melonjakkan kuasa beli di Johor,” katanya kepada FMT.
“Ia menjurus kepada kesan limpahan ekonomi terhadap pelbagai sektor domestik,” katanya.
Langkah rakyat Johor mencari pekerjaan di Singapura menjadi antara pelbagai isu dibangkitkan pada kempen PRN yang sedang berlangsung sehingga hujung minggu ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Skudai, Kartiyaini Jeyapalan, berkata jurang pendapatan dengan Singapura mendorong golongan pekerja muda berhijrah ke republik berkenaan.
Beliau berkata, sukar untuk mengekalkan bakat dalam negeri sekiranya kebimbangan tersebut tidak ditangani.
Namun, Tan berkata selain daripada keuntungan ekonomi, pekerja rentas sempadan juga boleh membawa pulang manfaat tersendiri menerusi konsep ‘peredaran bakat’.
“Mereka membawa pulang etika kerja, budaya, dan idea lebih baik dari Singapura. Perkara itu akan meningkatkan kualiti tenaga kerja di negeri Selatan tanah air itu untuk jangka masa panjang,” katanya.
“Ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura membawa pulang disiplin kerja lebih mantap, ketepatan masa, piawaian produktiviti, budaya khidmat pelanggan, kemahiran teknikal serta rangkaian profesional.
“Justeru, Johor tidak semestinya perlu bimbang mengenai usaha mengekalkan pekerja. Sebaliknya, negeri itu perlu cuba memanfaatkan nilai yang boleh diperoleh daripada pekerja mereka di seberang tambak,” katanya.
Data Jabatan Perangkaan menunjukkan warga Johor merangkumi 38% daripada keseluruhan rakyat Malaysia bekerja di Singapura, manakala 39% daripada rakyat Malaysia yang bekerja di sana merupakan pekerja mahir dan 35% lagi ialah pekerja separuh mahir.
Tan berkata, pengalaman diperoleh pekerja di Singapura mampu dimanfaatkan menerusi program pementoran tempatan, di mana mereka melatih usahawan muda atau pekerja, mahupun melalui skim menggalakkan mereka melabur dalam perniagaan kecil.
Manfaat bersama
Barjoyai Bardai.
Barjoyai Bardai dari Malaysia University of Science and Technology, berkata Johor sepatutnya berusaha saling melengkapi dengan Singapura, bukannya bersaing dengan negara pulau berkenaan.
Beliau berkata, walaupun negara pulau itu cemerlang dalam sektor kewangan, fungsi ibu pejabat, perkhidmatan perniagaan termaju dan ketersambungan global, Johor mempunyai kelebihannya yang tersendiri.
Ia termasuk keluasan meluas tanah, kos operasi lebih rendah, kapasiti pembuatan, logistik, tenaga kerja lebih besar serta potensi tenaga boleh baharu.
“Matlamatnya adalah meletakkan Johor sebagai koridor pengembangan pilihan Singapura dan bukannya pesaingnya. Ini akan membentuk model ‘ekonomi berkembar’, di mana dua pihak menjadi lebih kuat bersama,” katanya sambil menambah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) adalah sangat penting menjayakannya.
Senada dengan Barjoyai, Tan berkata, zon ekonomi khas itu membolehkan Johor menjadi pangkalan serantau bagi sokongan penjagaan kesihatan, pendidikan, kejuruteraan, perniagaan digital, dan perkhidmatan sokongan profesional.
Barjoyai berkata, tumpuan perlu terarah usaha mencipta nilai ekonomi dengan beralih menuju sektor pembuatan dan digital termaju menerusi pelaburan besar dalam pendidikan teknikal.
Katanya, ekonomi bernilai tinggi yang saling melengkapi bersama Singapura membawa kepada peluang pekerjaan dengan gaji lebih baik serta peluang kerjaya lebih kukuh, sekali gus menjadikan pekerjaan di Johor pilihan yang cocok untuk penduduk tempatan.
Bukan sekadar pekerjaan, gaji
Tan turut berpandangan, selain daripada peluang kerja lebih baik dengan gaji lebih tinggi, timbul keperluan untuk Johor membangunkan infrastruktur dan meningkatkan kualiti hidup rakyatnya.
Beliau berkata, Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya boleh dibangunkan dengan lebih banyak perumahan mampu milik untuk kumpulan berpendapatan sederhana.
“Infrastruktur — seperti pengangkutan awam, sekolah, klinik, dan ruang komuniti — juga cukup penting,” katanya.
“Johor dapat berfungsi sebagai tempat tinggal pilihan bagi rakyat kita yang bekerja di Singapura, yang ingin membina kehidupan di Malaysia.
“Ini akan menjadikan warga Johor memaksimumkan pendapatan melalui perumahan, perbelanjaan, perkhidmatan, dan pendidikan yang lebih murah, sekali gus ada baki wang untuk pelaburan tempatan,” katanya.
Menyentuh perkara sama, Barjoyai berkata, golongan profesional berkemahiran tinggi kini semakin cenderung memilih tapak operasi di lokasi mempunyai kemudahan pengangkutan awam, penjagaan kesihatan, pendidikan serta kualiti hidup keseluruhan terbaik.
Naik gaji secara mampan
Yeah Kim Leng.
Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway , berkata usaha menarik pelaburan bernilai tinggi sahaja tidak akan dapat merapatkan jurang pendapatan, melainkan disusuli pembangunan tenaga kerja lebih mantap serta dasar memastikan syarikat tempatan mendapat manfaat daripada pelaburan.
Beliau berkata, syarikat yang menerima insentif berkaitan JS-SEZ sepatutnya digalak membangunkan pembekal tempatan, melabur dalam latihan tenaga kerja, dan menghasilkan limpahan ekonomi meluas.
Yeah turut memberi peringatan, peningkatan harga hartanah dan kos sara hidup di Johor Bahru serta Iskandar Puteri, yang sebahagiannya didorong aliran masuk pelaburan, mampu menjejaskan keuntungan daripada kenaikan gaji, sekiranya pekerja tidak mampu memiliki kediaman dalam pasaran hartanah tempatan.
“Risiko terbesar bagi JS-SEZ bukanlah kegagalan, sebaliknya kejayaan yang datang terlalu cepat sehingga tidak mampu ditampung infrastruktur dan pasaran buruh,” tambahnya.


