Teresa Kok dalam perbahasan di Dewan Rakyat turut bangkitkan isu dakwaan amalan mencampurkan beras tempatan dengan beras import.
PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen menggesa kerajaan menjelaskan sama ada wujud rancangan atau hala tuju untuk menamatkan penswastaan industri padi dan beras yang kini dikendalikan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Teresa Kok (PH-Seputeh) mempersoalkan rasional kerajaan menswastakan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pada 1994, sambil menyifatkannya sebagai antara agensi kerajaan yang diserahkan sepenuhnya kepada syarikat swasta.
“Saya tidak faham apakah rasional kerajaan menswastakan LPN pada 1994. Nampaknya ini satu-satunya lembaga atau agensi kerajaan yang diswastakan kepada syarikat swasta.
“Apakah kementerian mempunyai rancangan ataupun ‘road map’ untuk menyahkan penswastaan padi di bawah Bernas?” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat.
Dalam perbahasannya, Kok turut menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pindaan yang meningkatkan hukuman dan denda di bawah akta berkenaan.
Beliau berkata, walaupun kerajaan menyatakan kenaikan itu bertujuan menunjukkan keseriusan terhadap kesalahan berkaitan padi dan beras, kadar denda yang terlalu tinggi boleh membuka ruang kepada kompromi serta amalan rasuah dalam penguatkuasaan.
Menurut RUU itu, denda maksimum terhadap individu dicadangkan dinaikkan daripada RM15,000 kepada RM250,000 bagi kesalahan pertama, dan RM500,000 bagi kesalahan berikutnya.
Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1 juta bagi kesalahan kedua.
Teresa turut membangkitkan isu dakwaan amalan mencampurkan beras tempatan dengan beras import, yang sebelum ini pernah dibincangkan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Beliau meminta kementerian menjelaskan sama ada amalan itu dibenarkan, termasuk mekanisme serta nisbah campuran yang ditetapkan sekiranya ia memang dipraktikkan.
Selain itu, Teresa menggesa kerajaan memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam industri padi dan beras bagi menghasilkan varieti tempatan yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
Katanya, pembangunan varieti baharu perlu diberi perhatian, termasuk memanfaatkan kepakaran luar yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran negara.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan mengurangkan kebergantungan negara terhadap beras import.
