Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata gabungan itu akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding dalam PRN pada Selasa ini.
PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan senarai calon yang akan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan pada Selasa ini, kata pengerusi PH negeri, Aminuddin Harun.
Aminuddin berkata senarai calon itu akan diumumkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim dalam satu acara di Kuala Pilah, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, Aminuddin yang juga menteri besar enggan mengulas mengenai kerusi DUN yang bakal ditandinginya dalam pilihan raya pada 1 Ogos ini.
“Saya tiada apa-apa komen lagi. Saya pun tidak tahu, tunggu 14 Julai nanti,” katanya dalam satu program di Seremban.
PH akan bertanding di semua 36 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN itu, dengan PKR meletakkan calon di 16 kerusi, DAP di 11 kerusi dan Amanah di sembilan kerusi.
Sekutu PH di peringkat persekutuan, Barisan Nasional (BN), turut akan bertanding di semua 36 kerusi.
Hari pengundian PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon ialah pada 18 Julai dan pengundian awal akan berlangsung pada 28 Julai.


