Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan Selasa lalu selepas polis mengenal pasti ancaman bom menyasarkan Bangunan Parlimen serta Agensi Sains dan Teknologi Home Team dihantar individu sama. (Gambar Rawpixel)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dua ancaman bom yang menyasarkan Parlimen serta bangunan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) di Singapura.
Polis Singapura dalam kenyataan memaklumkan, lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada Khamis atas kesalahan menyampaikan maklumat palsu berhubung perkara berbahaya mengikut Seksyen 268A Kanun Keseksaan 1871.
Menurutnya, HTX menerima penghantaran borang dalam talian pada 3 Julai lalu yang mendakwa bom diletakkan dalam bangunan itu.
Polis turut menerima laporan berhubung satu e-mel tanpa nama dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai mendakwa bom diletakkan di Bangunan Parlimen.
Polis menjalankan pemeriksaan rapi di kedua-dua premis, termasuk pemeriksaan sistematik dalam bangunan dan kawasan sekitarnya, tetapi tidak menemui sebarang perkara yang menimbulkan kebimbangan keselamatan.
“Pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan Divisyen Polis Pusat kemudian mengenal pasti kedua-dua ancaman bom itu dihantar individu sama, lalu menahan lelaki berkenaan pada 7 Julai.
“Beberapa peranti elektronik yang dipercayai digunakan untuk membuat ancaman itu turut dirampas daripadanya sebagai barang kes.”


