PM Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Bulan Keselamatan Negara 2026 di PICC hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA: Ancaman keselamatan yang berubah dengan pantas termasuk kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kriptografi pascakuantum dan dron menuntut Malaysia mengubah pendekatan keselamatan daripada kaedah konvensional kepada strategi lebih menyeluruh.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, perubahan dalam landskap keselamatan hari ini yang berlaku secara meluas memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.
“Pendekatan keseluruhan negara itu penting … tidak ada lagi ‘compartmentalisation’ … oh, ini isu swasta, ini isu jabatan, ini isu-isu kementerian.
“(Ini penting) Untuk gabungkan sinergi supaya ada pendekatan bersama jabatan dan kementerian,” katanya ketika berucap merasmikan Bulan Keselamatan Negara 2026 anjuran Majlis Keselamatan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Raja Nurshirwan Zainal Abidin.
Pada majlis sama, Anwar turut merasmikan Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSS) 2026, Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi), Pelan Tindakan MyKriptografi dan Kerangka Keselamatan Siber bagi Sistem Kecerdasan Buatan.
Perdana menteri berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan negara tidak lagi terhad kepada agensi keselamatan semata-mata sebaliknya perlu difahami sebagai tanggungjawab kolektif yang melibatkan setiap lapisan masyarakat.
Katanya, benteng keselamatan perlu wujud dalam keluarga bagi melindungi anak-anak daripada ancaman nilai dan fahaman yang boleh menggugat keselamatan negara.
Anwar turut menggariskan bahawa kerajaan telah memperkenal Dasar Kriptografi Negara, Pelan Tindakan Kriptografi dan pelaksanaan program sandbox kriptografi pascakuantum Malaysia sebagai persediaan mendepani perubahan pesat teknologi.
Beliau juga berkata, kerjasama dengan negara sahabat penting bagi menangani ancaman rentas sempadan termasuk keselamatan siber, keselamatan sempadan dan penggunaan teknologi baharu.
“Kalau kita tidak ada kerjasama yang akrab dengan semua negara, kita ada masalah,” katanya.
