George Lam mencadangkan AirBorneo membenarkan penumpang memilih sama ada mahu mendaftar masuk bagasi, memilih tempat duduk serta perkhidmatan lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pemuda DAP Sarawak mencadangkan supaya syarikat penerbangan negeri AirBorneo memperkenalkan kadar khas untuk pemegang MyKad berabjad “K” Sarawak.
Borneo Post melaporkan, Setiausaha Pemuda DAP Sarawak George Lam berkata, inisiatif itu akan memastikan orang Sarawak benar-benar dapat merasai manfaat daripada syarikat penerbangan milik negeri sendiri.
Cadangannya itu susulan AirBorneo mengumumkan kadar promosi untuk laluan baharu Kuching-Kuala Lumpur, dengan tiket kelas ekonomi sehala berharga RM375 di bawah kempen “Sarawakku Sayang”.
Walaupun mengiktiraf kadar berkenaan merangkumi daftar masuk bagasi, pemilihan kerusi dan makanan dalam penerbangan, Lam berkata ramai orang Sarawak kecewa dengan harga diumumkan.
Beliau mencadangkan syarikat penerbangan itu membenarkan penumpang memilih sama ada memerlukan bagasi didaftar masuk, atau untuk memilih tempat duduk serta perkhidmatan lain.
Lam berkata, laluan Kuching-Kuala Lumpur secara utamanya digunakan orang Sarawak untuk tujuan perniagaan atau perjalanan jangka pendek, dan selalunya tidak memerlukan peruntukan bagasi besar atau untuk memilih tempat duduk.
“Saya cadangkan supaya AirBorneo memperkenalkan kadar tambang lebih fleksibel seterusnya mengurangkan keseluruhan kos penerbangan,” katanya.


