Puad Zarkashi balas kenyataan Noor Azleen Ambros yang memintanya menjadi ahli yang patuh dan tidak menghasut.
PETALING JAYA: Puad Zarkashi mempertahankan rekod kesetiaannya kepada parti selepas ditegur Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros supaya menjadi ahli yang patuh dan tidak menghasut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata beliau tidak perlu diajar mengenai erti kesetiaan kerana pernah mempertahankan parti ketika saat sukar.
“Mungkin dia lupa dua kali saya tidak berjawatan. Pertama bila kalah di PRU13 dan kedua bila BN hilang kuasa pada PRU14.
“Ketika itu saya tetap mempertahankan parti sehingga disaman RM10 juta oleh Muhyiddin Yassin. Masa itu Muhyiddin PM kelapan,” katanya di Facebook.
Puad berkata beliau juga menggunakan platform audio siar ‘Jangan Berlapik’ atas inisiatif sendiri untuk mempertahankan parti, tanpa menerima pembiayaan daripada Umno.
Menurut bekas Adun Rengit itu, kesetiaan kepada parti tidak bermaksud seseorang perlu berdiam diri apabila melihat perkara yang boleh menjejaskan perjuangan parti.
“Saya setia kepada perjuangan parti, bukan individu. Tetapi apabila pemimpin jadi boneka, maka saya berhak bersuara untuk selamatkan parti.
“Kalau diam membabi buta itu menjahanamkan parti,” katanya.
Beliau turut membidas Noor Azleen yang sebelum ini menggesanya menunjukkan contoh baik kepada generasi muda mengenai makna sebenar kesetiaan kepada parti.
“Kamu orang muda yang bagi contoh salah kepada orang muda tentang makna kesetiaan,” katanya.
Noor Azleen menasihatkan Puad supaya menjadi ‘orang parti’ yang patuh dan setia selepas Puad membayangkan akan membuat pengumuman penting pada hari penamaan calon PRN Johor, Sabtu ini.
Puad mahu bertindak demikian kerana mendakwa bimbang dengan perkembangan semasa Umno Johor selepas melihat senarai calon BN bagi PRN Johor dan akan melakukan ‘keberanian politik’ untuk meneruskan perjuangannya.


