Mahkamah Majistret Klang memerintahkan Syed Fazillah Syed Assimie dipenjara setahun jika gagal membayar denda.
KLANG: Pemandu e-panggilan didenda RM101,750 oleh Mahkamah Majistret selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengimport barang larangan, iaitu 5,500 botol air zam-zam melalui Pelabuhan Barat, Klang, lima tahun lalu.
Majistret Mohd Hirman Ab Raub menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Fazillah Syed Assimie, 41, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selepas meneliti keterangan kedua pihak.
Syed Fazillah diperintah membayar denda itu yang bersamaan 10 kali ganda nilai barangan diimport dan sekiranya gagal, tertuduh boleh dipenjara selama setahun.
Mahkamah turut memerintahkan dia membayar duti kastam 20% daripada nilai barangan berkenaan, iaitu berjumlah RM2,035 kepada kerajaan Malaysia melalui kastam mengikut Seksyen 119A Akta Kastam 1967.
“Semua 5,500 botol air zam-zam yang menjadi barang kes dalam kes ini dilucuthakkan kepada pihak kastam menurut Seksyen 127 Akta Kastam 1967,” kata Hirman semasa membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa bersama-sama mengimport barang larangan, iaitu 5,500 botol air zam-zam berkapasiti lima liter setiap satu dengan jumlah keseluruhan 27,500 liter bernilai RM10,175.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira 12 tengah hari pada 2 Jun 2021 di Gudang CFS2, Pelabuhan Barat.
Pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Semasa rayuan mitigasi, peguam Gabriel Susayan mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda kadar munasabah mengambil kira tertuduh bekerja sebagai pemandu e-panggilan dan mempunyai pendapatan tidak menentu, selain menanggung keluarga.
Namun, Pegawai Pendakwa Kastam Shahrul Amin Shahrul Nizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi undang-undang berkaitan pengimportan air zam-zam dan barangan larangan lain.
Shahrul Amin berkata, kemasukan air zam-zam secara tidak sah boleh menyebabkan kerugian hasil cukai kepada negara, selain menjejaskan kawalan terhadap barangan dibawa masuk ke Malaysia.
Selepas hukuman dijatuhkan, Gabriel memohon penangguhan pelaksanaan hukuman denda, sementara pihaknya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi dan mahkamah membenarkan penangguhan itu dengan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.


