Muhammad Izzuddin Mohmad Asari didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di sebuah bilik hotel.
PETALING JAYA: Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli, lapor Sinar Harian.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Izzuddin didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 13 tahun itu di sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, kira-kira jam 8 pagi pada 4 Jun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 14(d) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aishah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.


