Penuntut universiti swasta, Ishvherr Singh Jagjit Singh, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Jitra atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 14.63 kg, minggu lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Seorang penuntut universiti swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 14.63 kg, minggu lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Ishvherr Singh Jagjit Singh, 24, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri, lapor Harian Metro.
Ini kerana kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah itu ketika ditahan di sekatan jalan raya Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menghala ke Malaysia dari arah Thailand pada 11.46 pagi, 15 Jun lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta disebat minimum 12 kali sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Sharifah Nurlin Atiqah Wan Idrus manakala tertuduh diwakili peguam Naran Singh.
Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh bagi serahan laporan kimia sebelum kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.


