Tertuduh, Mazuin Marzuki, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah berjumlah RM33,827, dalam tempoh lima tahun lepas. (Gambar Facebook)
BALIK PULAU: Seorang bekas kerani firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang firma itu berjumlah RM33,827, dalam tempoh lima tahun lepas.
Mazuin Marzuki, 45, yang ketika itu bertugas sebagai kerani di sebuah firma guaman, didakwa melakukan pecah amanah dengan memasukkan wang berjumlah RM33,827 menerusi enam transaksi berasingan ke dalam akaun bank peribadi dan milik suaminya untuk kegunaan sendiri.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah firma guaman di Bangunan Koperasi Pengangkutan Pulau Pinang Berhad, Bayan Lepas dekat sini antara 4 Sept 2020 hingga 3 Nov 2025.
Keenam-enam pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta sebatan, dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan, bagaimanapun wanita yang tidak diwakili peguam itu memohon jaminan rendah atas alasan tidak bekerja dan bergantung pada pendapatan suaminya.
Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin kemudian membenarkan dia diikat jamin RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Julai ini bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.


