Pekebun wanita Yong Lai Kien mengaku salah di Mahkamah Sesyen Raub atas tuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran di Sungai Pertang, Mukim Gali di Pahang, dua tahun lalu. (Gambar fail)
PETALING JAYA: Seorang pekebun wanita didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub selepas mengaku salah atas tuduhan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran di Sungai Pertang, Mukim Gali di Pahang, dua tahun lalu.
Yong Lai Kien, 48, membuat pengakuan tersebut selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali, lapor Sinar Harian.
Mahkamah juga mengarahkan Yong dihukum penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan fakta kes, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan Ops Sekat Musang King pada 9 Ogos 2024 lalu, mendapati wanita itu menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.
Dalam serbuan di kawasan Sungai Pertang, Mukim Gali itu mendapati terdapat sebuah rumah kebun serta kawasan tanaman pokok durian yang diusahakan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh menduduki dan menggunakan tanah berkenaan tanpa memperoleh kebenaran sah daripada pihak berkuasa negeri.
Susulan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Muhammad Muqris Alif Zairiasdi dan Nurul Ain Wozzari manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Harris Mohan.


