Bekas jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski terkenal dengan gaya permainan menyerang berintensiti tinggi serta penekanan terhadap pembangunan pemain muda. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kelab divisyen keempat England, Salford City FC mengumumkan pelantikan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, sebagai pengurus baharu pasukan utama lelaki mereka.
Pengumuman pelantikan jurulatih dari Australia itu dibuat beberapa jam selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan beberapa pegawai kanan Harimau Malaya, termasuk Cklamovski dan CEO pasukan kebangsaan, Robert Douglas Friend, meninggalkan skuad kebangsaan.
Salford City, yang beraksi dalam saingan English League Two, dimiliki oleh konsortium yang diterajui bekas pemain Manchester United, David Beckham dan Gary Neville.
“Saya berada di sini dengan peluang yang hebat untuk melakukan sesuatu yang istimewa, dan ini adalah cabaran yang besar.
“Pemilik kelab mempunyai cita-cita yang tinggi, dan kelab ini juga mempunyai aspirasi yang besar. Itu selari dengan diri saya,” kata Cklamovski.
Penasihat bola sepak utama Salford City, Paul Scholes, memuji Cklamovski falsafah corak permainan menyerangnya yang menarik.
“Namun beliau bukan hanya mementingkan jaringan gol, malah sangat menitikberatkan rekod tanpa bolos.
“Beliau mahu pasukannya bermain dengan lebih tajam dan mempunyai identiti yang jelas, dan itulah sesuatu yang kami teruja untuk bawa ke kelab ini,” katanya.
Cklamovski, 47, dikenali dengan gaya permainan menyerang berintensiti tinggi serta penekanan terhadap pembangunan pemain muda. Beliau pernah berkhidmat dalam sistem J-League dan bola sepak antarabangsa.
Karier kejurulatihannya termasuk peranan sebagai penolong jurulatih kepada Ange Postecoglou ketika bersama pasukan kebangsaan Australia dan Yokohama F Marinos, yang menjuarai liga J1 League pada 2019.
Beliau kemudian mengendalikan Shimizu S-Pulse, Montedio Yamagata dan FC Tokyo sebelum mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih Malaysia pada awal tahun lalu.


