Pelajar Tingkatan 4 SMK Bukit Sawa Amiratul Husna Mohd Shany dilaporkan hilang pada 29 Mei lepas. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan seorang remaja perempuan yang hilang ketika keluar bersiar-bersiar bersama keluarganya di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus, pada 29 Mei lepas.
Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata, laporan polis dibuat oleh ibu bapa mangsa pada 30 Mei.
Dalam kenyataan, Azli berkata, kira-kira 6 petang pada hari kejadian, pelajar Tingkatan 4 SMK Bukit Sawa, Marang, Amiratul Husna Mohd Shany, didapati hilang sekitar tapak niaga di pantai itu.
“Semasa berada di sekitar tapak niaga (di pantai itu), mangsa didapati telah hilang setelah memberitahu bapanya akan pergi ke lokasi ibunya yang berada kira-kira 10m dari tempat dia berada,” katanya.
Azli berkata, bapa remaja itu telah cuba mencari di kawasan sekitar namun gagal menemuinya.
“(Sejak) laporan dibuat (pada 30 Mei) sehingga kini, mangsa masih belum pulang ke rumah.
“Mangsa mempunyai telefon bimbit namun telefonnya tidak aktif sejak kehilangannya,” tambahnya.
Ketika kejadian, gadis itu memakai baju-T lengan panjang dan seluar berwarna hitam serta tudung bercorak petak berwarna ungu.
Amiratul Husna berketinggian kira-kira 152cm, berkulit sawo matang dan berat badan sekitar 50kg.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat menerusi talian 016-7943735 atau ke balai polis berhampiran.

