Kementerian Dalam Negeri telah mengharamkan dua buku bukan fiksyen, iaitu memoir yang ditulis oleh bekas anggota Parti Komunis Malaya.
KUALA LUMPUR: Pemilik dua syarikat penerbitan hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mencabar keputusan menteri dalam negeri mengharamkan memoir dua anggota Parti Komunis Malaya (PKM).
Penerbit Chong Ton Sin, yang memiliki Gerakbudaya dan Strategic Information and Research Development Centre, memohon perintah mahkamah untuk membatalkan larangan terhadap buku ‘Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10’ dan ‘Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah’.
Kedua-dua buku itu ditulis oleh bekas anggota PKM, Shamsiah Fakeh dan Aziz Suriani.
Chong berkata larangan itu adalah ‘tidak rasional’ kerana kedua-dua buku tersebut telah berada dalam pasaran dan diedarkan selama bertahun-tahun.
Kementerian Dalam Negeri mewartakan larangan terhadap kedua-dua judul itu pada 11 dan 12 Februari lalu dengan alasan pemantauan berterusan serta risikan mendapati penerbitan yang mengandungi unsur dan ideologi komunis semakin terbuka edarannya di pasaran.
Mahkamah menetapkan 11 Ogos untuk mendengar permohonan Chong bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lee Chean Chung dan Adun Bandar Utama daripada DAP Jamaliah Jamaluddin, yang juga cucu Shamsiah, mengkritik larangan tersebut.
Jamaliah berkata memoir itu memberi tumpuan kepada perjalanan hidup dan pengalaman neneknya serta tidak pernah mencetuskan sebarang aktiviti ekstremis.
Beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri yang disifatkannya sebagai ‘tidak berasas’ dan menggesa agar larangan itu dikaji semula.


