Seramai 45 individu ditahan Jabatan Perhutanan Selangor semalam kerana melakukan aktiviti rekreasi di hutan simpan kekal Ayer Hitam di Puchong tanpa kebenaran dan permit. (Gambar JPNS)
PETALING JAYA: Seramai 45 individu termasuk lima warga asing ditahan Jabatan Perhutanan Selangor (JPNS) kerana disyaki menceroboh hutan simpan kekal Ayer Hitam di Puchong.
Pegawai Hutan Selangor Tengah, Mohd Hadre Mohamad berkata operasi Op Jejak yang dijalankan dengan kerjasama polis itu semua individu yang ditahan didapati masuk ke hutan berkenaan tanpa kebenaran atau permit, lapor Sinar Harian.
Katanya, semua individu yang ditahan itu terdiri daripada 38 lelaki dan tujuh wanita yang disyaki melakukan aktiviti rekrasi termasuk pendakian dan mandi sungai di kawasan hutan berkenaan.
“Semua individu tersebut dirujuk ke IPD Serdang bagi tujuan pelaporan untuk tindakan siasatan lanjut oleh JPNS,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Hadre berkata, semua individu yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 47 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.
Beliau juga menasihati penggemar aktiviti rekreasi untuk mendapatkan permit sebelum memasuki hutan simpan kekal dan menjalankan aktiviti tersebut di lokasi pendakian yang dibenarkan sahaja.


