Seorang ayah tidak selalu hadir untuk difahami ketika dia masih ada. Kadangkala kita hanya benar-benar memahaminya selepas kehadiran itu berubah menjadi ingatanSeorang ayah tidak selalu hadir untuk difahami ketika dia masih ada. Kadangkala kita hanya benar-benar memahaminya selepas kehadiran itu berubah menjadi ingatan

Kasih lelaki yang tak terucap

2026/06/21 09:30
5분 읽기
이 콘텐츠에 대한 의견이나 우려 사항이 있으시면 crypto.news@mexc.com으로 연락주시기 바랍니다

Seminggu sebelum ayah meninggal dunia 23 tahun lalu, saya pulang ke rumah dan itulah kali terakhir saya memandang wajahnya. Tiada sebarang petanda, ayah pergi tanpa pesan.

Saya masih ingat kepulangan itu—bukan kerana ia luar biasa, tetapi terlalu biasa. Petang berjalan seperti selalu, dengan langit perlahan-lahan berubah warna dan rumah yang menyimpan bunyi-bunyi kecil yang sudah saya hafal. Ayah ada di situ, seperti kebiasaannya. Tidak banyak bercakap, tidak menuntut perhatian, hanya hadir dengan cara yang dulu saya anggap biasa, kini saya sedar ia amat bermakna.

Hari-hari di kampung bergerak perlahan, seolah enggan tergesa-gesa. Ayah meneruskan rutinnya—bangun seawal 3 pagi menyiapkan kuih bersama emak untuk dijual selepas subuh, menjenguk bendang yang tidak seberapa, bersiap ke madrasah menjelang senja. Saya pula hidup dalam ruang yang berbeza: muda, sibuk dengan urusan dan cita-cita sendiri, tanpa sedar masa tidak pernah menunggu untuk kita faham sesuatu yang tidak akan kembali.

Ayah sebenarnya sedang meninggalkan jejak yang tidak saya baca ketika itu. Bukan dalam bentuk kata-kata, tetapi dalam cara dia menjalani hari—tenang, seakan ketabahan itu bukan sesuatu yang perlu ditunjukkan, tetapi cukup sekadar dilakukan.

Saya kembali ke kampus seperti biasa, meneruskan kehidupan sebagai mahasiswa yang ketika itu sedang menghampiri penghujung semester lima. Seminggu selepas itu, ayah pergi.

Pemergiannya meninggalkan sunyi yang tiba-tiba menjadi terlalu luas untuk saya isi. Segala perkara kecil yang dulu saya anggap remeh, tiba-tiba berubah menjadi sesuatu yang ingin saya ulang, ingin saya tahan, ingin saya faham semula. Tetapi masa tidak pernah berpatah balik untuk memberi ruang dan peluang.

Benar, tiada yang lebih perit daripada kehilangan insan tersayang. Namun, pemergian tanpa ucapan selamat tinggal paling memeritkan.

Daripada segala kehilangan yang datang bersama pemergian ayah, ada satu penyesalan paling lama tinggal dalam diri saya. Ketika ayah masih ada, saya masih bergelar pelajar dan belum benar-benar berdiri atas kaki sendiri. Apabila saya akhirnya melangkah ke alam pekerjaan dan mula mengecapi sedikit kejayaan, ayah sudah tiada untuk meraikannya bersama.

Sering bermain di fikiran, saya tidak sempat membalas segala pengorbanannya. Bukan soal hadiah besar atau kemewahan, untuk menghulurkan seratus dua duit hasil titik peluh sendiri kepada ayah sebagai tanda terima kasih pun saya tidak sempat.

Itu antara perkara paling membekas sehingga kini. Saya tidak pernah berpeluang melihat senyuman ayah ketika menerima hasil pertama daripada usaha anak yang selama ini diperjuangkannya.

Ketika itu saya akhirnya mengerti, kasih seorang ayah jarang hadir melalui ucapan. Ia tidak berdiri di tengah ruang untuk dilihat dengan jelas. Ia bekerja dalam senyap—dalam lelah yang tidak disebut, dalam tanggungjawab yang tidak minta dipuji, dalam hadir yang tidak pernah menuntut balasan.

Ingatan saya kemudian kembali melayang kepada perjalanan sekitar 25 tahun lalu. Pada 2001, ayah menghantar saya mendaftar di universiti. Ketika itu saya terlalu teruja memulakan kehidupan baharu sebagai mahasiswa sehingga tidak banyak memerhatikan wajah seorang ayah yang sedang melepaskan anaknya melangkah ke dunia yang lebih luas.

Perjalanan itu bukan sekadar dari kampung ke universiti. Di sebaliknya, ada pelbagai pengorbanan tidak pernah ayah ceritakan. Saya juga tidak pernah bertanya apa yang bermain di fikirannya ketika melihat anak yang dibesarkan mula membawa haluan sendiri.

Ayah tidak memberikan nasihat panjang, cuma berdiri seketika sebelum pulang dan mengangguk tanpa banyak bercakap. Isi hatinya terpancar melalui bahasa tubuh dan riak wajah. Saya menganggap semua itu sesuatu yang biasa dilakukan oleh seorang bapa. Hari ini, saya melihatnya sebagai antara bukti kasih yang paling besar pernah saya terima.

Kini, apabila mengingati detik tersebut, saya sedar perjalanan ke menara gading itu sebenarnya lebih sukar bagi ayah berbanding saya. Saya melangkah ke masa depan dengan penuh harapan, sedangkan ayah pulang ke kampung dengan perasaan yang tidak pernah diungkapkan. Namun, itulah ayah—lelaki yang sanggup menyimpan keresahan sendiri supaya anak-anak dapat melangkah tanpa beban.

Barangkali, itulah sifat yang ada pada ramai ayah. Mereka jarang bercakap tentang perasaan sendiri, tetapi sentiasa memikirkan masa depan anak-anak. Mereka menyembunyikan kerisauan di sebalik ketenangan, dan menyimpan harapan di sebalik sikap yang sering disalah ertikan sebagai biasa.

Sejak itu, setiap kali Hari Bapa menjelma, ia bukan lagi sekadar tarikh. Ia menjadi ruang yang sunyi, tempat saya kembali kepada semua yang tidak sempat saya katakan. Semua terima kasih yang terlambat. Semua soalan yang tidak lagi ada jawapan dan semua kenangan kecil yang kini menjadi bukti bahawa kehadiran ayah sebenarnya jauh lebih besar daripada yang pernah saya sedari.

Dan di hujung semua itu, saya belajar sesuatu: seorang ayah tidak selalu hadir untuk difahami ketika dia masih ada. Kadangkala, kita hanya benar-benar memahaminya selepas kehadiran itu berubah menjadi ingatan.

Kasih itu tidak pernah hilang. Ia hanya berubah bentuk—menjadi kenangan yang terus menemani, menjadi cara kita melihat dunia, dan menjadi sebahagian daripada diri kita, perlahan-lahan cuba mengerti semula makna seorang lelaki yang tidak banyak berkata, tetapi seluruh hidupnya adalah pengorbanan yang tidak sempat kita balas.

Buat mereka yang masih ada ayah, hargailah setiap detik bersamanya. Jangan tunggu sehingga suara itu menjadi sunyi, dan kehadiran hanya tinggal kenangan. Selagi masih ada kesempatan, ucapkan terima kasih, berbaktilah walau dalam apa juga keadaan mereka sekarang—bertongkat, berkerusi roda atau terlantar.

Kerana kita tidak pernah tahu bila sesuatu pertemuan itu akan menjadi yang terakhir.

Selamat Hari Bapa!

Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

시장 기회
카다노 로고
카다노 가격(ADA)
$0.1619
$0.1619$0.1619
-0.18%
USD
카다노 (ADA) 실시간 가격 차트

CHZ +28%! Will History Repeat?

CHZ +28%! Will History Repeat?CHZ +28%! Will History Repeat?

0-fee opening long & short. Be ready for any move!

면책 조항: 본 사이트에 재게시된 글들은 공개 플랫폼에서 가져온 것으로 정보 제공 목적으로만 제공됩니다. 이는 반드시 MEXC의 견해를 반영하는 것은 아닙니다. 모든 권리는 원저자에게 있습니다. 제3자의 권리를 침해하는 콘텐츠가 있다고 판단될 경우, crypto.news@mexc.com으로 연락하여 삭제 요청을 해주시기 바랍니다. MEXC는 콘텐츠의 정확성, 완전성 또는 시의적절성에 대해 어떠한 보증도 하지 않으며, 제공된 정보에 기반하여 취해진 어떠한 조치에 대해서도 책임을 지지 않습니다. 본 콘텐츠는 금융, 법률 또는 기타 전문적인 조언을 구성하지 않으며, MEXC의 추천이나 보증으로 간주되어서는 안 됩니다.

World Cup Combo: Aim for 200x

World Cup Combo: Aim for 200xWorld Cup Combo: Aim for 200x

Combine up to 20 World Cup matches in one order