Zahid Hamidi berkata tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan keputusan SPR susulan kenyataan Nga Kor Ming mempersoalkan keputusan mengadakan PRN Johor dan Negeri Sembilan berasingan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Zahid Hamidi mempertahankan kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan kritikan terhadap keputusan mengadakan PRN Johor dan Negeri Sembilan berasingan.
Timbalan perdana menteri berkata, penetapan tarikh pilihan raya adalah hak dan kuasa SPR, justeru tidak wajar mana-mana pihak mempertikaikan keputusan itu.
“Itu adalah hak dan kuasa yang ada pada SPR dan tidak sepatutnya mana-mana individu atau apatah lagi jika kita berkedudukan sebagai anggota Jemaah Menteri mempunyai pendapat peribadi yang begitu.
“Apatah lagi jika seseorang itu adalah pemimpin utama mana-mana parti yang menjadi anggota kepada kerajaan yang ada,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan persidangan ilmuwan Asia Tenggara ke-4 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Semalam, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, menyifatkan penjelasan SPR berhubung tarikh berasingan bagi PRN Johor dan Negeri Sembilan sebagai ‘tidak masuk akal dan mengarut’.
Nga dilapor mempersoalkan keputusan SPR mengadakan pilihan raya itu berasingan walaupun DUN Johor dan Negeri Sembilan dibubarkan hanya selang tiga hari.
Beliau berkata, seluruh suruhanjaya itu wajar meletakkan jawatan jika tidak mampu mengendalikan pilihan raya serentak bagi dua negeri terbabit.
Sementara itu, Zahid yang juga presiden Umno menolak dakwaan berlaku pengkhianatan susulan pengumuman PRN Negeri Sembilan.
Katanya, sokongan kerajaan perpaduan kepada pentadbiran Negeri Sembilan kekal sehingga akhir penggal dan pembubaran DUN serta pilihan raya adalah proses biasa dalam sistem demokrasi.
Mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, yang melabel Umno sebagai hipokrit berhubung kerjasama politik dengan Pakatan Harapan, Zahid mengingatkan pemimpin parti komponen menghormati rakan dalam gabungan.
“Rakan kongsi politik harus jaga hati. Yang penting jaga lidah supaya tidak keluar apa yang ada dalam hati,” katanya.


